DEFINISI TERAPI PERTUTURAN
MASALAH PERTUTURAN YANG DIALAMI OLEH MURID BERKEPERLUAN KHAS
Murid-murid berkeperluan khas mempunyai pelbagai masalah sama ada ketidakupayaan, kecacatan, halangan atau rintangan untuk mencapai perkembangan dari segi kognitif, emosi, sosial atau psikomotor. Mereka terdiri daripada pelbagai masalah dalam pembelajaran. Sehubungan itu, kaedah terapi dapat membantu murid-murid bermasalah pembelajaran mencapai perkembangan tersebut. Oleh yang demikian, setiap murid Pendidikan Khas yang mempunyai kelemahan, kecacatan, halangan atau rintangan tertentu yang mengganggu mereka menjalani kehidupan seharian atau pembelajaran harus melibatkan diri dalam terapi yang sesuai.
Terdapat pelbagai jenis dan bentuk terapi yang boleh membantu mereka dalam setiap kekurangan tersebut. Sebagai contoh, jika murid berkenaan mempunyai masalah dalam pertuturan, dia boleh menjalani terapi pertuturan. Jika dia menghadapi masalah dalam pergerakan motor kasar atau halus (psikomotor), dia boleh didedahkan dengan terapi fisio atau cara kerja.
Pelaksanaan kaedah terapi ke atas murid haruslah dilakukan oleh mereka yang berpengalaman dan berpengetahuan seperti doktor atau pakar kesihatan. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa terapi yang boleh dijalankan sendiri oleh ibu bapa dan guru seperti terapi muzik, terapi seni, terapi pertuturan dan terapi pergerakan. Namun begitu, untuk menjalankan terapi tersebut, pihak berkenaan haruslah mendapatkan maklumat atau pengetahuan yang sesuai sama ada melalui pembacaan atau rujukan pada pakar.
TERAPI
Sebenarnya terapi merupakan rawatan pemulihan ke atas pesakit yang pernah menghadapi sebarang penyakit atau kecederaan ( Kamus Perubatan Mosby, 2001). Ini bermaksud terapi sangat berkait rapat dengan rawatan yang membantu seseorang pulih semula dari kecederaan atau masalah yang dialami.
Bagaimanapun, di dalam konteks pendidikan pula, terapi adalah kaedah untuk membantu seseorang murid untuk bergerakbalas terhadap sesuatu aktiviti atau kemahiran. Hal ini meliputi pelbagai kaedah yang digunakan oleh guru bagi membantu murid memberi tindak balas terhadap proses pembelajaran.
PERTUTURAN
Pertuturan adalah kegiatan melafazkan bunyi-bunyi yang dilahirkan daripada alat pertuturan (artikulasi). Menurut Kamarudin Hj. Husin (1987), pertuturan juga merupakan kemahiran berinteraksi dalam suasana bahasa manusia.
Pertuturan juga boleh bermaksud bercakap , hasil daripada percakapan , apa yang dituturkan , bahasa sesuatu negara atau bangsa ataupun dialek tersendiri sesebuah wilayah atau tempat.
TERAPI PERTUTURAN
Terapi pertuturan adalah masalah dan gangguan pertuturan yang dihadapi oleh seseorang individu. Hal ini mungkin disebabkan oleh faktor fizikal atau mental. Contohnya, masalah fizikal kanak-kanak seperti sumbing. Selain itu, ia juga melibatkan aktiviti yang dijalankan untuk membantu individu yang bermasalah. Latihan atau intevensi yang dilaksanakan untuk meningkatkan semua aspek komunikasi seperti pengunaan bahasa isyarat dan simbol-simbol bergambar.
Terapi pertuturan juga merupakan kaedah yang digunakan untuk membantu murid yang mengalami kesukaran dalam menyebut perkataan dan berkomunikasi. Ia bertujuan untuk membantu murid menghasilkan bunyi bunyi bahasa dan melatih murid-murid yang menghadapi masalah artikulasi melalui latihan asas tertentu. Sekiranya murid gagal membunyikan perkataan, guru boleh memulakan pengajaran dengan melakukan terapi terlebih dahulu.
Kebiasaanya, guru akan memulakan latihan atau intevensi awal supaya dapat membantu murid. Antara contoh aktiviti terapi pertuturan yang boleh dilakukan oleh guru ialah latihan lisan, meniup belon, meniup kertas di atas air dan mengetap bibir.
KEPENTINGAN TERAPI PERTUTURAN(G 5.4)
Terapi pertuturan merupakan salah satu aktivti yang membantu murid untuk mempunyai masalah dengan alat artikulasi mereka seperti gagap, sengau, sumbing dan sebagainya.
Terdapat beberapa kepentingan terapi pertuturan ini, antaranya ialah, pertama melatih murid menguasai kemahiran tertentu. Sebagai contoh, jika terapi pertuturan dijalankan, kita dapat membantu murid menguasai kemahiran bertutur khususnya. Murid akan dapat bertutur dengan lebih baik dari semasa ke semasa jika terapi ini terus dijalankan.
Kedua, membantu murid menghasilkan bunyi bahasa. Hal ini bermaksud, terapi pertuturan ini dapat membantu murid mengeluarkan bunyi-bunyi bahasa yang lebih bermakna. Kebanyakkan murid yang mengalami masalah pertuturan akan mengeluarkan bunyi yang kurang difahami oleh orang lain. Dengan pelaksanaan terapi pertuturan, murid dapat menghasilkan bunyi bahasa yang lebih bermakna.
Ketiga, meningkatkan kefungsian kognitif, emosi dan sosial. Hal ini bermaksud, terapi pertuturan ini dapat meningkatkan keyakinan murid untuk berhadapan dengan orang lain. Sebagai contoh, jika murid yang mengalami masalah pertuturan, sifat rendah diri mereka untuk bergaul dengan orang lain akan kurang. Apabila mereka dapat bertutur walaupun bukan sepenuhnya, tahap keyakinan mereka untuk bergaul dengan orang lain akan meningkat. Selain itu, tahap kognitif mereka juga akan meningkat daripada pengalaman bergaul denga orang lain.
Keempat, meningkatkan tahap keupayaan murid. Hal ini bermaksud, tahap keupayaan murid khususnya bertutur akan lebih meningkat. Sebagai contoh, apabila murid yang mengalami masalah pertuturan dapat bertutur, hal ini akan memberi kesan positif dalam diri murid termasuk tahap keupayaan murid dalam bidang lain seperti pelajaran.
Kelima, membantu dan merangsang pertuturan dan komunikasi. Hal ini bermaksud, terapi pertuturan ini dapat membantu merangsang alat-alat pertuturan murid dan meningkatkan tahap komunikasi murid-murid yang mengalami masalah pertuturan. Sebagai contoh, apabila terapi pertuturan dilakukan, secara langsung alat-alat pertuturan seperti mulut, lidah, gigi dan gusi akan bergerak dan bertindak balas antara satu sama lain. Hal ini akan membantu murid-murid bertutur dengan cara yang lebih baik dan berkesan. Selain itu, apabila murid-murid sudah mula menggunakan alat-alat pertuturan dengan betul, hal ini akan membantu murid-murid berkomunikasi dengan lebih baik.
Keenam, membantu murid menyampaikan maklumat kepada individu lain. Hal ini bermaksud, terapi pertuturan ini dapat membantu murid-murid menyampaikan maklumat dengan betul kepada orang lain dan meluahkan perasaan mereka dengan cara yang betul. Sebagai contoh, apabila murid-murid bermasalah pertuturan sudah mula pandai bertutur, mereka akan meluahkan perasaan mereka dengan orang yang bersesuaian. Apabila mereka mahu makan, mereka akan beritahu dan tidak terus mencapai makanan yang mereka mahu.
Ketujuh, membantu meningkatkan kemahiran sosial. Hal ini bermaksud, terapi pertuturan ini akan meningkatkan kemahiran sosial murid-murid. Murid-murid akan tahu kemahiran sosial dengan lebih baik. Sebagai contoh, mereka akan tahu cara untuk bercakap pada tempat dan situasi yang sesuai. Hal ini juga bermaksud, mereka akan dapat menyesuaikan diri dengan mudah dan lebih baik apabila bergaul dengan orang lain.
Kelapan, memperbaiki kualiti hidup dan keyakinan diri. Hal ini bermaksud, murid-murid akan dapat meingkatkan diri dalam hidup dan dan dalam pergaulan apabila terapi pertuturan ini berkesan. Sebagai contoh, apabila mereka dapat bertutur dengan lebih baik, peluang mereka untuk mendapatkan pekerjaan pada tahap yang lebih tinggi akan wujud dan keyakinan mereka
ALAT-ALAT YANG DIGUNAKAN DALAM TERAPI PERTUTURAN
Alat terapi pertuturan diberikan kepada individu yang mengalami masalah ketidakupayaan bertutur atau mengeluarkan suara dengan baik seperti berikut:
§ i) Kecelaruan perkembangan bahasa
§ iiK0ecelaruan bahasa perolehan
- Kecelaruan bunyi pertuturan
- Masalah pendengaran
- Kecelaruan suara
- Kecelaruan resonan/ sengau
- Kecelaruan kelancaran pertuturan
- Masalah penelanan dewasa/ kanak-kanak (Dysphagia)
- Kecelaruan deglutasi (feeding)
Antara alat-alat terapi yang biasanya digunakan sebagai terapi pertuturan ini ialah:
- § Wisel
- § Bola ping pong
- § Straw
- § Peniup hari jadi
- § Lilin
- § Kertas
Wisel
Straw
Peniup hari jadi(paper blower)
bola ping pong
Lilin
Kertas
Alat-alat berikut digunakan dengan cara murid membuat aktiviti meniup alat-alat menggunakan mulut bagi melatih pergerakan dan keupayaan mulut mereka. Antara aktiviti terapi yang boleh dilakukan menggunakan alat-alat berikut ialah:
|
- § Meniup belon dan wisel serta peniup hari jadi
- § Meniup lilin yang dinyalakan api
- § Meniup bola ping pong dalam bekas berisi air
- § Meniup straw di dalam cawan yang berisi air
- § Meniup kertas di dalam air.
- § Meniup kertas untuk mengeluarkan bunyi seperti wisel.
- § Menyedut air menggunakan straw.
Selain itu, banyak alternatif moden yang boleh digunakan untuk mengurangkan atau merawat masalah pertuturan kanak-kanak. Alat-alat bantuan pertuturan ini kebiasaannya disediakan oleh pakar pertuturan di hospital tertentu. Antaranya alat terapi dan kaedah yang digunakan ialah:
1. Penilaian awal bahasa dan pertuturan.
Penilaian ini merupakan penilaian asas bagi kanak-kanak yang bermasalah pertuturan dan bahasa.
2. Set kemahiran mendengar dan bertutur.
Set ini menggunakan alat permainan dan bahan bantu mengajar yang mengandungi langkah-langkah untuk membantu kanak-kanak bermasalah dalam mendengar dan bertutur.
3. Buku membaca dengan kaedah S.I (dengan latihan).
Teknik membaca dengan latihan yang sesuai digunakan oleh kanak-kanak yang mempunyai perkembangan bahasa yang lewat.
4. Kad imbas berlamina.
Kad imbas berlamina yang menggunakan gambar-gambar objek di sekeliling kanak-kanak bagi merangsang keupayaan bertutur mereka.
5. CD clipart.
Gambar objek dan kata kerja yang disedikan dalam bentuk JPEG boleh digunakan untuk menarik minat kanak-kanak dalam pertuturan.
6. Kad imbas kaedah S.I.
Merupakan kad imbas yang bersaiz kecil dan dilaminakan supaya tidak mudah rosak dan mudah dibawa ke mana sahaja bertujuan sebagai latihan sebutan dan bacaan kanak-kanak pada bila-bila masa dan tempat.
7. Sticker pelbagai warna dan karektor.
Digunakan sebagai ganjaran dalam pembelajaran.
8. Aktiviti kraf.
Menggunakan pelbagai alatan seperti kain, kertas warna, butang, manik, tali manik, mata, dawai bunga, gunting pelbagai corak, gam, jarum dan benang bertujuan menggalakkan kanak-kanak sebut dan sentuh.
9. Hand puppet.
Puppet yang mulut dan tangannya boleh digerakkan untuk merangsang keinginan kanak-kanak untuk bertutur.
10. Finger puppet.
Menggunakan puppet jari dengan watak haiwan untuk membantu merangsang pertuturan.
11. Perisian Dr Speech.
Merupakan latihan dalam perisian komputer yang berbentuk interaktif, tersusun dan mudah digunakan bagi membantu pengeluaran dan pengawalan suara.
12. Perisian nasal view.
Latihan yang digunakan untuk penilaian dan terapi kanak-kanak yang mengalami masalah sengau dalam pertuturan.
13. Five.
Alat pengurut berbateri dengan tekstur berbeza digunakan di kawasan sekitar luar mulut bagi kanak-kanak hiposensitif.
14. Echo Microphone.
Mikrofon yang menghasilkan gema apabila bercakap melaluinya. Alat ini dapat menggalakkan kanak-kanak mengeluarkan suara.
Cara pelaksanaan terapi pertuturan
Melakukan Latihan Senaman Muka
1. Lidah
a. Gerakkan lidah ke atas
b. Gerakkan lidah ke bawah
c. Gerakkan lidah ke kanan
d. Gerakkan lidah ke kiri
2. Mulut
a. Buka mulut seluas mungkin
b. Tutup mulut
c. Buka dan tutup dengan pelahan-pelahan
d. Buka dan tutup mulut dari pelahan semakin laju.
3. Muka
a. Meniru riak muka berdasarkan gambar atau arahan.
4. Kunyah
Kawalan pernafasan
· Cara pernafasan menggunakan perut
· Tarik nafas kemudian tahan dan hembus
· Tarik nafas ikut hidung atau mulut dan hembus melalui hidung atau mulut.
· Latihan hembus kertas
· Hembus bola kertas ke arah gol
· Minum,sedut dan buat buih air menggunakan straw
· Tiup buih-buih
· Meniup peralatan muzik atau peralatan yang mengeluarkan bunyi
· Tiup wisel mengikut rentak
· Tiup belon mengikut tahap kesukaran
Kawalan suara
· Letak tangan di hadapan mulut
· Letak belakang tangan di bahagian leher
· Sebut fonem /a/i/u/ dalam masa 5 saat/10 saat/ 15 saat/ 20 saat.
Cara pelaksanaan pada tahap pra-pertuturan
Pandang mata
· Letakkan permainan berdekatan dengan mata klien. Ia bertujuan agar klien melihat ke arah guru. Jika klien tidak memberikan perhatian, berhenti dan panggil namanya sebelum memulakan aktiviti.
· Hentikan aktiviti sebelum klien kepenatan dan berikan ganjaran jika berjaya.
Vokalisasi
· Bermain dengan bunyi vokal untuk melatih pergerakan otot mulut yang berkaitan dengan pertuturan.
· Apabila klien mengeluarkan bunyi , ulang semula penghasilan bunyi tersebut atau memanjangkan bunyi tersebut sehingga menjadi satu perkataan.
· Pengendali terapi harus menggunakan nada yang berbeza supaya dapat menarik minat klien untuk meniru.
Kekangan atau halangan dalam menjalankan terapi pertuturan
Halangan tersebut boleh dibahagikan kepada beberapa faktor.
1. Guru
a. Guru pendidikan mempunyai pengetahuan yang cetek mengenai terapi pertuturan dan tidak biasa melakukan terapi pertuturan semasa masa terapi untuk murid pendidikan khas.
b. Guru malas untuk menjalankan terapi pertuturan sebaliknya menyerahkan tugas tersebut kepada ibu bapa untuk dirujuk kepada pakar terapi.
c. Guru tidak berminat untuk menjalankan aktiviti terapi pertuturan dan menjalankan terapi lain sewaktu masa terapi.
2. Bahan
a. Ketiadaan bahan yang sesuai dengan murid boleh menganggu proses terapi pertuturan.
b. Penggunaan bahan bantu untuk terapi tidak mencukupi dengan bilangan murid atau bahan yang mudah rosak.
3. Peruntukkan masa
a. Peruntukkan masa untuk proses terapi pertuturan yang tidak mencukupi.
b. Terdapat pelbagai murid yang memerlukan peruntukkan masa yang berbeza untuk sesuatu aktiviti terapi pertuturan menyukarkan guru untuk mengendalikan proses terapi pertuturan. (terdapat murid yang berasa bosan menunggu giliran atau menunggu untuk ke tahap seterusnya kerana terdapat murid yang masih memerlukan masa yang lama untuk sesuatu melaksanakan sesuatu aktiviti terapi pertuturan).
4. Sokongan ibu bapa
a. Ibu bapa tidak mahu memberikan kerjasama untuk meneruskan terapi pertuturan dirumah sebaliknyan menyerahkan sepenuhnya kepada guru untuk menjalankan terapi pertuturan.
b. Ibu bapa tiada masa untuk melaksanakan terapi pertuturan yang diajarkan oleh guru supaya dijalankan kepada anak-anak mereka semasa berada dirumah.
5. Tingkah laku
a. Terdapat murid yang tidak mahu mengikuti aktiviti dalam terapi pertuturan.
b. Murid mempunyai tingkah laku yang disruptif dan disruktif semasa proses terapi pertuturan.
c. Tidak mahu mengikuti arahan daripada guru atau ahli terapi.
Cadangan Terapi Pertuturan
Terapi pertuturan akan memberi kesan dengan cepat apabila keyakinan murid-murid pendidikan khas untuk bertutur itu meningkat. Oleh itu sokongan dan galakan daripada semua pihak perlu ada agar murid-murid pendidikan khas merasa dihargai dan tidak dipinggirkan. Setiap usaha mereka perlu dihargai dan bukannya dipandang rendah walaupun objektif yang ditetapkan itu gagal dicapai
Guru merupakan individu yang paling dekat dengan Murid-murid khas semasa di sekolah. Guru perlu memantau dan merekod tahap kebolehan pertuturan setiap murid. Sekiranya ada murid yang menunjukkan masalah lewat pertuturan,guru perlu mengambil langkah intervensi dengan kadar segera.Oleh itu guru perlu memantau perkembangan pertuturan murid. Hal ini penting untuk menjamin keberkesanan terapi pertuturan yang dijalankan dan tindakan susulan yang bakal diambil berdasarkan pencapaian murid. Guru juga perlu sentiasa bersedia dengan pelbagai kaedah terapi kerana setiap murid bermasalah pertuturan memerlukan pendekatan yang berbeza.
Ibu bapa perlu sentiasa bercakap dengan anak istimewa mereka. Semakin kerap perbualan dan pertuturan berlaku,semakin banyak input dan perbendaharaan kata yang didengar dan dikuasai oleh anak mereka. Kanak-kanak istimewa ini memerlukan lebih banyak perhatian dan kasih sayang daripada semua orang. Oleh itu, ibu bapa perlu mendengar setiap perkataan yang diluahkan dan jangan memperkecilkan kanak-kanak bermasalah pertuturan ini kerana hal ini akan melemahkan semangatnya.
Persepsi negatif masyarakat terhadap murid-murid pendidikan khas yang mengalami masalah pertuturan dan komunikasi ialah perkara biasa. Masyarakat perlu mempunyai pengetahuan dan kesedaran akan hak murid-murid pendidikan khas ini untuk belajar bertutur dan bercakap seperti manusia normal. Murid-murid masalah pertuturan tidak sepatutnya dipinggirkan dan dilayan seperti orang asing. Mereka perlu dihargai agar mereka lebih yakin dan tidak malu untuk berkomunikasi
Kempen kesedaran,seminar,taklimat mengenai masalah pertuturan yang dihadapi oleh murid-murid bermasalah pertuturan perlu diadakan dengan lebih kerap lagi. Masih ramai lagi golongan masyarakat yang tidak mengetahui akan kesedaran untuk membantu golongan murid-murid bermasalah pertuturan ini. Masyarakat terus berprasangka dan melabel murid-murid bermasalah komunikasi ini dengan pelbagai label negatif. Media massa juga perlu memainkan peranan penting dalam menyebarkan bahan-bahan ilmiah mengenai masalah pertuturan yang dihadapi oleh kanak-kanak.Blog,laman web dan laman social juga boleh dimanfaatkan sebagai wadah untuk menyampaikan mesej mengenai masalah pertuturan dalam kalangan kanak-kanak dan bagaimana kita dapat membantu mereka.
KESIMPULAN TERAPI PERTUTURAN
Program terapi pertuturan merupakan satu program yang penting bagi membantu kanak-kanak bermasalah pertuturan dan komunikasi untuk bertutur. Guru pendidikan khas perlu didedahkan proses mendapatkan perkhidmatan,proses pengesanan awal, pengetahuan asas terapi pertuturan agar langkah-langkah yang perlu diambil bersesuaian dengan keperluan murid. Guru memainkan peranan penting mengesan sebarang masalah komunikasi dalam kalangan muridnya. Guru perlu menjalankan ujian diagnostik bagi mengenalpasti tahap dan kebolehan murid untuk berkomunikasi.
Pemantauan secara berterusan oleh guru terhadap perkembangan komunikasi murid bertujuan untuk mengetahui tahap murid dan mengenalpasti keperluan murid. Guru atau pakar terapi pertuturan akan melakukan program-program terapi secara bersistem dan berjadual, justeru,data-data perkembangan pertuturan dan komunikasi murid sentiasa diperlukan. Guru juga perlu bersedia melakukan inovasi dan teknik memberi terapi kepada kanak-kanak bermasalah pertuturan yang memerlukan perhatian lebih bagi membolehkan mereka menguasai kemahiran bertutur sedikit demi sedikit.
Murid-murid bermasalah komunikasi dan pertuturan perlu dibantu. Persekitaran murid-murid khas juga menjadi faktor penting yang membantu perkembangan mereka. Guru,ibubapa, dan masyarakat perlu memastikan murid-murid ini sentiasa bertutur dan melibatkan diri dalam pertuturan walaupun cara mereka bertutur itu tidak betul.
Penyebaran maklumat mengenai terapi pertuturan dalam media massa seperti media cetak dan media elektronik membantu masyarakat amnya dan ibubapa khususnya yang mempunyai kanak-kanak bermasalah pertuturan untuk mengambil tindakan yang sewajarnya membantu anak mereka sebelum terlambat. Seminar-seminar dan kursus-kursus diadakan bagi membantu ibubapa menimba ilmu tentang bagaimana masalah pertuturan anak mereka dapat diatasi.
Alhamdulillah..terima kasih kerana berkongsi maklumat sebegini..berguna utk mereka seperti saya yang tidak mempunyai asas terapi pertuturan..well done..tq again
ReplyDeleteAmat bermakna dan bermanfaat. Tenkiu. Moga Allah memberkati hidup penulis
ReplyDeletesy share yea..terima kasih.
ReplyDeleteTerima kasih atas perkongsiannya. Sangat membantu dan mudah difahami. Semoga Allah memberkati usaha anda.
ReplyDelete